Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH - Dua lelaki maut manakala seorang cedera parah selepas kereta jenis Proton Waja yang dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Kuala Kangsar, di sini, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kemalangan tersebut kira-kira jam 2.45 pagi.
Menurutnya, pemandu lelaki berusia 32 tahun dan penumpang lelaki di tempat duduk hadapan kenderaan berusia 36 tahun maut di lokasi kejadian manakala penumpang di bahagian tempat duduk belakang yang berusia 31 tahun cedera parah.
"Siasatan awal di lokasi mendapati pemandu kereta bersama dua rakannya melalui Jalan Kuala Kangsar menghala ke Ipoh telah hilang kawalan terbabas melanggar di tiang lampu jalan di pembahagi jalan.
"Akibat daripada impak perlanggaran, tiang lampu jalan patah melintang di laluan arah Sungai Siput.
"Ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kereta dan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Beliau berkata mangsa maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan hospital yang sama.
Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#PerakKini #kemalangan #maut #Ipoh #JalanKualaKangsar #RBZ