LaraMag

collapse
Home / UMUM / 12,800 penduduk bermigrasi keluar pada 2020 - MB Perak

12,800 penduduk bermigrasi keluar pada 2020 - MB Perak

Jul 18, 2022  Ramli Ahmad Rozali  2 views
Oleh Rosdalilah Zahari IPOH - Kira-kira 12,800 penduduk bermigrasi keluar dari Perak pada tahun 2020, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Menurutnya, jumlah itu melebihi orang yang masuk bermigrasi ke negeri ini iaitu sebanyak 11,600 orang. Katanya, melalui laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), migrasi bersih Perak pada tahun 2020 adalah pada kadar -1.2 dan situasi tersebut masih berada dalam keadaan terkawal. "Bagaimanapun, perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan sumber manusia di Perak dapat dikekalkan bertujuan untuk menyokong dan menggerakkan agenda pembangunan di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian pada sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini. Saarani berkata kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik dalam memastikan peluang pekerjaan sentiasa terbuka untuk penduduk di Perak sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi tanpa perlu berhijrah ke luar. "Antara perancangan yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) yang sentiasa menjalankan pelbagai bentuk program dan inisiatif secara berterusan dalam menghebahkan peluang pekerjaan tersedia terutama kepada graduan-graduan yang bakal menamatkan pengajian. "Selain itu, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dijadikan pemacu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berpotensi menembusi pasaran pekerjaan dan memenuhi permintaan industri seperti mana yang termaktub dalam pelan Perak Sejahtera 2030," jelasnya. Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM4 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri pada tahun ini di bawah Jawatankuasa TVET Negeri Perak bagi melaksanakan program latihan kemahiran upaya agenda satu warga satu kemahiran dapat dilaksanakan. "Justeru, kerajaan negeri akan terus mempelbagaikan aktiviti ekonomi khususnya dalam menarik pelabur luar untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi memenuhi keperluan penduduk di Perak," katanya #PerakKini #SidangDun #kerajaannegeri #Perak  

Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.