Oleh Rosdalilah Zahari
KAMPAR - Seorang lelaki parah manakala lima termasuk dua kanak-kanak cedera apabila sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung dalam kejadian di Jalan Tapah Kampar, di sini tengah hari tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima terima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.37 tengah hari dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dibantu BBP Gopeng segera ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Ketika tiba di tempat kejadian, kita mendapati seorang mangsa lelaki yang berada dalam Perodua Viva mengalami cedera parah.
"Sebuah lagi kenderaan iaitu MPV Toyota Alphard yang dinaiki lima orang iaitu seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak warga China hanya mengalami kecederaan ringan.
"Kita menggunakan peralatan menyelamat bagi membantu mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kesemua mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital berhampiran untuk tindakan lanjut dan operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zahuri Zainal Abidin itu tamat jam 1.17 tengah hari.
#PerakKini #kemalangan #Kampar